Monday, February 11, 2008

Bersediakah kita?

Pagi tadi ketika sedang bersiap untuk ke tempat kerja, sayup-sayup kedengaran paluan 'kentong' (beduk) menandakan ada kematian. Pertama kali bunyi sayup sahaja (mungkin dari masjid) dan kali ke2 sedikit jelas (dari surau pula ni). Dalam hati berkata, "Siapa pula yang balik ni?" Tiba² teringat sajak yang selalu dengar di corong IKIM.fm.

Dahi Tak Cecah Sejadah
Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan

Berwudhu’lah kamu sebelum kamu diwudhu’kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan
Tutuplah ‘auratmu sebelum ‘auratmu ditutupkan

Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih
Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai

Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud

Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat
Iringi dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara
Tangisilah dosa-dosamu di dunia

Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa’
Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan

Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan ‘Izrail yang menakutkan
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan

Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi
Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan

Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan
Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya

Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah ayam tak patok itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat
Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat
Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alas Solaah’

Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alal Falaah’
Jalan kemenangan akhirat dan dunia
Ingatlah yang kekal ialah amal

Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna harta, tahta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia.

Seketika hati berdetik, bersediakah diri ini bila tiba masa nya untuk dipanggil balik? Bagaimanakah reaksi Si Utusan Pemanggil ketika datang menjengah? Diri ini mula menghitung semula segala apa yang telah dilakukan sepanjang hampir 27tahun hidup di dunia. Apa yang telah dilakukan? Untuk diri sendiri? Keluarga? Masyarakat? Agama? Alangkah malunya tiada satu pun yang boleh dibanggakan yang telah dicapai. Betapa sia-sia nya kehidupan selama ini. Bagaimana harus dijawab di sana kelak? Bagaimanakah ilmu yang diperolehi dimanfaatkan? Amal jariah apakah yang boleh dihitung untuk memantapkan laluan di titian sirat? Semakin kerdil rasanya bila direnung semua itu.

Namun selama manakah rasa keinsafan ini singgah di hati? Tidak cukup lama dan tidak cukup kuat untuk menggerakkan hati agar terus berubah menjadi yang sepatutnya. Alangkah ruginya!

2 komentar:

Anonymous said...

kita mmg perlu mengingati mati...

t.a.t.a said...

sama² la kita mengingati nya..
wajib ingat tau.